Sunday, 3 April 2016

MULUT LAMBANG PERIBADI


Dalam masyarakat Melayu ada banyak bidalan berkaitan mulut.  Bidalan mulut murai, mulut tempayang, mulut becok, mulut gatal, tanam tebu di bibir mulut, biar pecah di perut jangan pecah di mulut, mulut kubur, mulut manis, mulut hebiak, mulut berus dan banyak lagi yang menggambarkan perihal sikap individu berkaitan mulut.

Jelas sekali sesuatu yang berkaitan mulut menjadi perhatian orang lain yang melambangkan peribadi seseorang.  Kita jarang sekali mendengar orang mengambarkan peribadi seseorang dengan bahagian anggota badan lain. 

Justeru itu adalah amat penting kita perlu berhati-hati berkaitan mulut atau lidah, jangan sampai dilabelkan dengan gelaran yang melambangkan peribadi tidak baik.  Jangan salahkan orang lain jika kita digelarkan dengan bidalan berkaitan mulut kerana itulah sebenarnya lambang peribadi kita yang diperhatikan oleh orang lain.   

Seorang pemikir Islam, Ibnu Thaus mengumpamakan lidahnya seperti binatang buas yang jika dilepas bebas nescaya akan memakan dirinya sendiri.  Maka, harus lidah itu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak terlepas kata yang membinasakan diri sendiri.

Menjaga mulut bermakna mengucapkan perkataan yang baik-baik dan mengelak daripada keluar perkataan mendatangkan keburukan. Bagaimanapun seringkali berlaku ketika bercakap terkeluar perkataan tidak baik dengan tidak sengaja. 
 
Ketika bercakap selalulah amalkan sikap berhati-hati atau berfikir sebelum bercakap agar tidak berlaku terlepas cakap perkatan yang tidak elok atau berbentuk dosa.  Sesiapa yang mengawal daripada mengucapkan perkataan buruk bermakna menjaga dirinya daripada kemurkaan Allah. 

Peri pentingnya menjaga percakapan banyak diungkapkan oleh Nabi Muhammad dalam hadis dan sunah hidup baginda.  Perkara itu berkaitan betapa kemuliaan diperoleh mereka yang mengawal lidahnya dan kecelakaan sesiapa bercakap perkataan buruk.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang) maka Allah akan menutup kecelaannya (hal-hal yang memalukan).  Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya.  Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya.” (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).

Sesungguhnya mengawal lidah daripada berkata-kata perkara buruk adalah lambang keimanan.  Sesungguhnya mereka yang beriman tidak sekali-kali akan memperkatakan perkara yang ditegah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik maupun dia diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika seseorang berjaya mengawal mulutnya dijamin ke syurga, maka sebaliknya jika gagal mengawalnya.  Seorang sahabat pernah menanyakan kepada Rasulullah apakah sebab terbesar seseorang masuk neraka, maka baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Dua rongga badan iaiatu mulut dan kemaluan.”  (Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah).  

No comments:

Post a Comment