Tuesday 5 April 2016

Dengki sekutu syaitan


Permulaan perasaan dengki syaitan terhadap manusia bermula apabila mengetahui Allah mahu menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Syaitan berdengki kepada manusia kerana merasakan dirinya lebih layak untuk menjadi khalifah di muka bumi.  Syaitan berasa megah dan lebih mulia daripada manusia kerana dijadikan daripada api, sedangkan Adam (manusia) dijadikan daripada tanah hitam.

Keengganan syaitan sujud kepada Adam telah menyebabkan mereka menjadi golongan hamba tidak beriman dan dikeluarkan dari syurga.  Maka, tinggallah Adam dalam syurga dan kemudiannya diciptakan Hawa oleh Allah sebagai pasangannya.

Melihat Adam dan Hawa yang menjalani kehidupan dengan penuh kenikmatan di dalam syurga, maka sifat dengki syaitan semakin bertambah.  Syaitan berusaha menggunakan tipu daya untuk merosakkan kenikmatan yang dirasai oleh Adam dan Hawa itu.

Tipu daya syaitan telah berjaya mempengaruhi Adam dan Hawa supaya memakan buah yang dilarang dimakan.  Disebabkan melanggar larangan itu, maka Adam dan Hawa telah dikeluarkan dari syurga dan dihantar ke bumi untuk menjalani kehidupan dengan penuh cabaran.

Biarpun, syaitan telah berjaya merosakkan kebahagiaan hidup Adam dan Hawa, sifat dengki terhadap manusia tidak pernah berkesudahan.  Malah, syaitan telah berjanji akan terus merosakkan hidup manusia sehingga ke hari kiamat dengan kesesatan yang besar.

Allah memberi peringatan kepada manusia tentang niat syaitan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang jauh-jauh.” - (Surah an-Nisa, ayat 60).

Oleh sebab itu perasaan dengki, syaitan terus mendampingi dan mempengaruhi manusia melakukan kejahatan.  Sekiranya manusia melakukan kejahatan, maka manusia tergolong hamba bakal mendiami neraka, sama seperti syaitan.

Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.

Sabda Rasulullah SAW: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sabda Nabi bermaksud: “Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan hasad dengki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Baihaqi).

Imam Nawawi menulis di dalam Riyadhussolehin tentang apa itu hasad, ”Seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini disebut orang dengki.”  

No comments:

Post a Comment